Kisah Kejayaan Pengasas Produk Sendayu Tinggi Puan Rozita
Ibrahim
Puan Rozita Ibrahim adalah seorang usahawan wanita yang
berjaya dengan jenama Sendayu Tinggi. Bila membaca kisah kejayaan beliau, kita
pasti akan mendapat motivasi kerana walau apa jua latar belakang kita, jika
kita berusaha, pasti akan mendapat kejayaan. Jom baca artikel dibawah.
Hidup ini ada penawar dan racun
WANITA ini mengakui pernah menjadi penoreh getah, hidup
penuh kedaifan dan serba kekurangan hinggakan pada suatu ketika bayinya diberi
minum sirap bagi menggantikan susu. Kepayahan dan penat jerihnya tidak berbayar
dengan kesenangan malah ia pernah meragut nyawa anak keduanya yang sakit dan
lumpuh ekoran tidak berwang untuk mendapatkan rawatan terbaik.
Pepatah hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat
sungguh terkesan di hati dan mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat bagi
memperoleh pendapatan yang selesa.Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan empayar
perniagaan sendiri, Rozita Ibrahim mengakui pelbagai peristiwa duka melingkari
perjalanan hidupnya.
Ketabahan, kekuatan dan sentiasa yakin terhadap usaha
sendiri dibalas dengan kejayaan yang mengangkat dirinya menjadi usahawan yang
disegani. Baru-baru ini beliau dianugerahkan Usahawan Wanita 2005 oleh Dewan
Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Kepada wartawan RAHANA MD dan jurugambar
MOHD. SHAHARANI SHAIBI, Rozita berkongsi sedikit pengalaman hidupnya di ibu
pejabat Sendayu Tinggi yang terletak di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
1. Boleh ceritakan sedikit apakah yang mendorong anda untuk
berubah?
ROZITA: Kesusahan yang melingkari hidup sejak kecil. Dek
kerana kemiskinan yang diwarisi daripada keluarga, saya hidup serba kekurangan.
Saya dikahwinkan dalam usia belasan tahun dengan lelaki yang bukan daripada
golongan senang menjadikan kepayahan yang terbeban berganda.
Di sisi suami, saya menoreh getah dan menjalankan perniagaan
kedai runcit namun kami tetap susah.
Jodoh kami tidak lama, di mana akhirnya membawa saya ke kota
dan membuat macam-macam kerja daripada kerja kilang, penyambut tetamu,
eksekutif promosi dan pemasaran hinggalah ke perniagaan jualan langsung. Terasa
lapang sedikit tetapi saya mahu lebih berjaya kerana enggan hidup melarat lagi.
2. Justeru, apakah yang anda lakukan seterusnya?
Selepas menjalani episod duka yang berterusan saya mengambil
keputusan menghasilkan perniagaan sendiri. Alam semula jadi paling hampir
dengan kehidupan saya sejak kecil dan saya akui pernah menggunakan tumbuhan
hutan untuk mengubat anak kedua yang sakit dan lumpuh semasa saya hidup susah.
Bermodalkan RM400 saya mulakan perniagaan dengan menjadikan
herba sebagai sandaran. Untuk meyakinkan pelanggan, saya gemukkan badan,
kemudian makan dan amalkan produk yang dijual dan hasilnya memuaskan. Saya
lakukan sebanyak tiga kali dan mula menjual dari rumah ke rumah. Sambutan yang
diterima menggalakkan dan mendorong saya menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise
pada awal tahun 2000 dengan menyewa kedai di Plaza Majlis Perbandaran Klang.
3. Apakah anda berpuas hati dengan hasil yang dicapai ketika
itu?
Syukur, seperti yang direncanakan, perniagaan saya
berkembang maju dan sambutan terhadap produk Sendayu Tinggi amat menggalakkan
terutama produk pelangsingan badan. Kebetulan ketika itu kebanyakan masyarakat
kembali menggunakan produk warisan nenek moyang terutama herba yang sekali gus
meningkatkan jualan.
Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan
yang penuh persaingan dan dugaan, saya mengambil keputusan meluaskan empayar.
Kini Sendayu Tinggi Enterprise menubuhkan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan
mempunyai sembilan anak syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn.
Bhd., Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi
Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd..
4. Apakah yang mendorong anda untuk terus mencipta kejayaan?
Anak-anak menjadi iltizam untuk saya terus berjuang
meningkatkan pencapaian pendapatan dan ekonomi. Saya pernah menjadi wanita yang
hanya mengikut perintah melakukan pelbagai pekerjaan tetapi apabila saya bangun
dan berjalan, saya tidak akan menoleh lagi. Saya berjanji kepada anak-anak
untuk menjadi ibu yang baik kerana dahulu saya kurang limpahan kasih sayang.
Namun, saya belajar daripada pengalaman. Kasih sayang menjadi kunci kebahagiaan
selama-lamanya.
5. Apakah yang anda kongsi dengan masyarakat?
Berkongsi ilmu kecantikan melalui konsep herba di samping
menerapkan dalam diri mereka agar berusaha gigih dan tidak putus asa. Selain
menawarkan produk yang berkualiti kepada pelanggan, saya turut menyalur
sumbangan kepada masyarakat terutama golongan susah, ibu tunggal, anak yatim dan
warga tua. Walaupun wang ringgit tidak mampu menandingi nilai kasih sayang
tetapi saya dapat menggembirakan mereka. Saya sayangkan masyarakat dan ingin
disayangi oleh masyarakat. Harapan utama saya kini mahu membantu mereka
terutama ibu tunggal yang susah atau sesiapa sahaja untuk menceburi bidang
perniagaan dengan menjadi pengedar Sendayu Tinggi untuk meningkatkan
pendapatan.
6. Apakah rahsia kejayaan yang anda raih?
Ada racun dan ubat dalam diri sesiapa sahaja dan terpulang
kepada kita memilihnya. Saya berpegang kepada kejujuran dan keikhlasan yang
menjadi santapan rohani dalam urusan perniagaan dan kehidupan. Saya percaya
hidup ini umpama roda yang ada kala di bawah dan kemudian berada di atas,
lantas semasa di puncak saya minta kepada Tuhan agar tidak lupa diri.
7. Apakah pencapaian terkini anda?
Sendayu Tinggi telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi
produk tradisional dan kilang ini telah memperoleh lesan Amalan Perkilangan
Baik (GMP) yang terletak di Pulau Indah, Klang, Selangor. Jumlah pengedar kini
lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun,
China, Taiwan dan Korea.
8. Ke manakah hala tuju Sendayu Tinggi selepas ini?
Selepas berjaya memenuhi pasaran produk herba tradisional di
pasaran Malaysia selama tujuh tahun, saya bercita-cita membentuk usahawan
wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi peribadi mahupun
pencapaian karier. Kebanyakan jaringan Sendayu Tinggi berjaya dibimbing melalui
roadshow yang berbentuk motivasi.
No comments:
Post a Comment