"Hari ini kita tolong orang, esok orang tolong kita"
MENYEBUT nama tokoh yang seorang ini pastinya ramai yang mengenali
beliau sebagai seorang usahawan Melayu yang sangat berjaya. Kejayaan dan
kekayaan beliau ini adalah hasil dari titik peluh sendiri. Ini kerana
beliau telah menceburi bidang perniagaan sejak umur belasan tahun lagi.
Hasil kejayaan beliau sekarang banyak didorong oleh semangat untuk
memajukan agama, bangsa dan negara. Ini satu usaha murni yang semakin
terhakis dalam diri masyarakat. Beliau yang dimaksudkan ialah Tan Sri
Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Memang setiap kali bercerita tentang beliau, kita semua tidak boleh
mengelak dari berbicara tentang kekayaan yang dimilikinya. Selain itu
kehebatan beliau menguruskan pelbagai cabang perniagaan di dalam dan
luar negara juga sentiasa meniti bibir orang ramai.
Kenapa beliau sering menjadi tumpuan walaupun terdapat ramai lagi
usahawan berjaya di Malaysia? Jawapannya kerana beliau merupakan
satu-satunya orang Melayu yang berjaya menduduki senarai 10 orang
bilionair di Malaysia, satu kedudukan yang pastinya sangat membanggakan
kita semua sebagai orang Melayu.
Menduduki tempat kelapan senarai orang terkaya Malaysia dengan wang
tunai dan aset sebanyak AS$1.8 bilion (RM6.5 bilion) pastinya setiap
berita dan pergerakan beliau ini akan menjadi perhatian. Namun bagi
beliau kekayaan dan kejayaan yang diperoleh bukanlah sesuatu untuk
dibanggakan jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk.
Beliau lebih gemar mengelak dari menjadi perhatian media, tidak mahu
terlalu menonjolkan diri malah senantiasa merendah diri. Itulah
keperibadian yang sering ditonjolkan oleh anak kelahiran Alor Setar ini.
Sikap merendah diri, kesederhanaan dan sering bersedekah kepada
mereka yang memerlukan sudah sebati dalam diri lelaki berusia 58 tahun
ini.
Bagi Syed Mokhtar yang juga penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2008,
beliau sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed
Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya bagi
membantu golongan kurang berkemampuan.
Ujarnya, separuh daripada pendapatan pertama ketika membantu bapanya,
Syed Nor Albukhary berniaga lembu sebanyak RM1,500 ketika tahun 60-an
telah diserahkan kepada ibunya yang kemudian memintanya mengagihkan wang
itu kepada 15 keluarga miskin di Alor Star, Kedah.
Pesanan ibu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada orang kurang kemampuan telah memberikannya keinsafan.
Malah sampai sekarang, sumbangan kepada 15 keluarga tersebut terus
diberikan, kalau yang meninggal dunia diganti dengan orang lain.
"Tuhan sudah memberikan segala nikmat, semuanya saya dah rasa, apa
lagi yang kita mahu, maka nikmat itu perlu digunakan bagi faedah kepada
orang ramai terutama pelajaran," katanya dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia tahun lalu.
Panduan
Bagi beliau, pesanan ibunya itu telah dijadikan panduan untuk beliau
maju dalam perniagaan namun pada masa yang sama tidak lupa akan asal
usul dirinya.
Syed Mokhtar turut menekankan bahawa kejayaan dan kekayaan yang
dimiliki bukanlah untuk dirinya sendiri tetapi untuk dikongsikan dengan
golongan yang kurang berkemampuan. Ini untuk memberi mereka peluang
mendapat ilmu sekali gus mengubah hidup pada masa depan.
Beliau yang berasal dari sebuah keluarga Arab Hadhrami di Yemen dan
hidup serba kekurangan ketika kecil telah membuktikan bahawa kemiskinan
yang dilalui beliau bukanlah alasan untuk tidak berjaya dalam hidup.
Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan beliau kini aktif dalam
beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik,
utiliti, automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta
kewangan.
Sebagai langkah untuk membantu mereka yang memerlukan, Yayasan
Albukhary yang ditubuhkan pada 1996 bagi melakukan kerja-kerja kebajikan
kini semakin berkembang sebagai entiti amal global antaranya dengan
penubuhan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.
Yayasan tersebut turut berperanan sebagai sebuah badan kebajikan yang
membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam
dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.
Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan
persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah
bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu
bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang
mana Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya.
Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi
aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, yayasan
turut membantu membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang
dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin di serata dunia supaya
belajar di Malaysia.
Antara projek terbesar yang berjaya dilakukan ialah pembinaan
Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang siap dibina
pada tahun 2004. Kompleks itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan
seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim,
akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.
Pihak yayasan juga sedang membina Universiti Antarabangsa Albukhary
yang dijangka siap penghujung 2009 sebagai tempat pelajar-pelajar
cemerlang kurang berkemampuan itu untuk menyambung pelajaran.
Hasil dari pesanan ibunya juga telah dijadikan panduan untuk beliau
turut mengembangkan aktiviti kebajikan kepada masyarakat minoriti Islam
yang tertindas dan miskin di luar negara dengan membawa pelajar-pelajar
miskin tetapi cerdik untuk menyambung pelajaran di sini.
Setakat ini, seramai 372 orang pelajar dari 47 buah negara minoriti
Islam sedang menimba ilmu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) di bawah tajaan Yayasan Albukhary.Yayasan berkenaan juga menaja umat Islam kurang berkemampuan dari
segi kewangan bagi menunaikan ibadah haji serta memberikan bantuan
pembinaan masjid-masjid termasuk membiayai projek membaik pulih Masjid
Negara di ibu negara.
Selain itu yayasan tersebut telah berjaya menyiapkan Muzium Kesenian
Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Muzium empat
tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan
hasil seni Islam.
Mendermakan
Yayasan al-Bukhary juga pernah mendermakan sebanyak RM7.75 juta
kepada Oxford Centre for Islamic Studies, sebuah pusat pengajian Islam
yang terkenal di serata dunia selain turut membantu Institut Pembangunan
Pendidikan Maju (MIED) dalam menjayakan projek mengasaskan Institut
Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah.
Yayasan tersebut juga sering terlibat dalam mengadakan dialog
peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat
berbilang agama dan kepercayaan.
Pengalaman Syed Mokhtar membesar tanpa pendidikan tinggi kerana latar
belakang keluarga yang serba kekurangan turut mendorong beliau
menubuhkan Program Tuisyen Al-Bukhary yang memberikan kelas tuisyen
secara percuma. Program tuisyen itu berasaskan iltizamnya untuk melihat
pelajar di luar bandar berpeluang mencapai pendidikan tinggi sekali gus
membantu mengubah kehidupan.
Menurut beliau, kesempitan hidup ketika zaman kanak-kanak sehingga
tidak mampu membayar yuran peperiksaan menyebabkan beliau kini berusaha
membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat peluang
pelajaran.
"Saya bersekolah setakat tingkatan lima tapi tak sempat ambil peperiksaan kerana tidak mampu bayar yuran.
"Jadi, mengenangkan dulu tidak ada peluang, bila saya dapat peluang
dalam perniagaan saya fikir kena beri peluang pendidikan kepada mereka
yang tidak mampu," katanya.
Selain itu, yayasan tersebut turut menyumbang kepada organisasi di
luar negara dalam usaha membantu umat Islam yang memerlukan. Hampir RM1
bilion telah diberikan secara langsung kepada usaha kebajikan termasuk
menyertai proses membina semula kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan
mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa bencana tsunami di Aceh,
Indonesia.
Selain itu, yayasan tersebut sedang berusaha menubuhkan hospital AIDS
di Uganda, membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program
bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lebanon selain urut
membina 12 buah masjid di serata dunia.
Dalam pada itu penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang
dimulakan oleh bukan Islam juga menarik perhatian. Walaupun yayasan
tersebut lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam,
ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan
Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary telah menyumbang sebanyak RM1 juta
bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi
mengumpul dana untuk menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan
juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang berkemampuan.
Bagi Syed Mokhtar, apa yang dilakukan ini semuanya bermula daripada
didikan orang tuanya sendiri. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada
dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
Prinsip beliau jelas, kekayaan itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya
itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada
orang ramai. Kekayaan hanya dipegangnya untuk sementara sahaja. Bagi
beliau, kekayaan ini Tuhan beri kepadanya untuk membantu orang lain.
"Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya
belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya
mencuri. Saya usaha sendiri.
"Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena
berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih,
bolehlah kita menolong orang.
"Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang,
esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain," katanya.
No comments:
Post a Comment