Saturday, 2 November 2013

Sendayu Tinggi bakal ke luar negara

Ditulis oleh NORHANA FARIZA HARUN

Melihat kepada kehidupan mewah yang di kecapinya hari ini, tiada siapa menyangka Pengasas merangkap Pengarah Urusan Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd, Rozita Ibrahim pernah menjalani sisi kehidupan dihimpit kemiskinan satu ketika dulu.

Atas faktor kemiskinan itu, Rozita lantas bangun cari peluang tingkatkan taraf hidup, sekali gus mengubah kehidupannya menjadi lebih baik. Kecintaannya terhadap dunia kosmetik dan kecantikan membawa Rozita ceburi perniagaan dengan menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise pada 1998 dan kemudian menukar nama kepada Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd pada 2003.

Menurutnya, dia melihat perbezaan ketara antara mereka yang mengamalkan kesihatan menggunakan bahan herba dengan mereka yang tidak mengamalkannya. Secara tidak langsung, menguatkan semangatnya membantu masyarakat dengan menghasilkan pelbagai produk yang bukan sahaja terdiri daripada produk berasaskan herba bagi kesihatan dalaman tetapi juga produk kosmetik bagi kecantikan luaran.


Produk berkualiti, harga berpatutan

Apabila menyebut tentang Sendayu Tinggi, pasti ramai terfikir bahawa jenama ini nampak eksklusif, maka harganya juga sudah pasti mahal. Namun, sebaliknya, produk Sendayu Tinggi adalah berpatutan dan sesuai bagi golongan pertengahan.

Sementara itu, mengulas tentang persaingan antara pengusaha produk kosmetik lain, katanya, dia mengambilnya sebagai persaingan sihat. Malah, dia tidak akan sekali-kali meniru produk orang lain.

“Kami tidak perlu meniru produk lain kerana kami mempunyai identiti dan formula tersendiri. Saya sendiri sangat mengagumi teknologi kecantikan dari Jepun, Jerman dan perubatan tradisional Ayur Veda,” katanya.


Kembangkan perniagaan secara francais

Bermula awal tahun depan, Sendayu Tinggi akan mengorak langkah mengembangkan perniagaan ke luar negara secara francais. Menurut Rozita, sistem francais ini hanya akan dijalankan untuk operasi luar negara dan dijual kepada mereka yang berminat.

Ia adalah sebagai salah satu usaha bagi menerokai pasaran luar Malaysia. Manakala, untuk operasi dalam negara, ianya diuruskan sendiri oleh syarikatnya.

Menurutnya lagi, jenama Sendayu Tinggi telah mendapat permintaan untuk dijalankan secara francais dari pihak luar. Namun, pelbagai syarat harus dipatuhi sebelum sesebuah perniagaan itu mampu bergerak menerusi konsep tersebut.

“Buat masa ini, Sendayu Tinggi masih beroperasi menggunakan lesen. Malah, kami telah mula menguruskan hal berkaitan lesen ini sejak empat tahun lalu.

“Sebenarnya, kami belum terfikir untuk buka cawangan di luar Malaysia. Tetapi, jika permintaan meyakinkan, kami akan ambil peluang untuk buka satu atau dua buah cawangan. Jika segalanya berjalan lancar, baru kami akan fikir sama ada untuk jual ataupun uruskan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, antara permintaan yang telah diterima termasuk dari Indonesia, Filipina dan beberapa negara Asia lain. Bagaimanapun, ada yang telah membawa produk Sendayu Tinggi ke London dan Dubai.


Bakal keluarkan wangian sendiri

Sebagai inisiatif mempelbagaikan produk rangkaiannya, Sendayu Tinggi akan mengeluarkan wangian sendiri menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, bagi mengukuhkan lagi operasi perniagaannya, Sendayu Tinggi akan membuka lima cawangan termasuk di Dungun; Temerloh; Bangi; Sandakan dan Kuala Selangor.

Dalam pada itu, antara strategi bagi bertahan sehingga kini ialah sentiasa menekankan kualiti produk, mempelbagaikan pilihan dengan perkenalkan produk baru, mengadakan promosi dan dekatkan diri dengan pengguna.

                               Sendayu Tinggi - Salmon Placenta & Perfect Skin Treatment

Sumber dari http://polopoly.karangkraf.com:8080/preview/www/2.657/2.662/1.47736

No comments:

Post a Comment