ARTIKEL : LAYAKKAH ANDA DIGELAR USAHAWAN?
Written by Administrator
Created on Saturday, 01 January 2011 12:19
Last Updated on Monday, 12 November 2012 12:55
Anda seorang peniaga tetapi adakah anda berjaya menjadi
usahawan?
Peniaga tidak semestinya berjaya menjadi usahawan
tetapi usahawan terdiri daripada mereka yang juga menjalankan perniagaan.
Seorang usahawan yang berjaya berkebolehan untuk membuat orang lain percaya
kepada idea-ideanya dan juga mempunyai kepercayaan diri sendiri serta berkarisma
untuk menjual idea-idea tersebut. Ada di antara usahawan yang mencari dan
mewujudkan idea mereka sendiri dan ada juga di antara mereka mewujudkan
personaliti untuk menarik perhatian kepada diri mereka. Oleh itu usahawan yang
berjaya adalah seorang yang bijak bercakap dan seorang pendengar yang baik,
ikhlas dan boleh menerima pandangan orang lain.
Menurut David Mc Clelland, seorang usahawan boleh berjaya sekiranya mereka
bersifat inovatif dan kreatif, berani mengambil risiko, percaya pada diri sendiri,
sanggup bekerja kuat, berilmu dan boleh merancang dan menetapkan objektif dan
tujuan serta bertanggungjawab di dalam segala yang dilakukannya.
Seorang pengurus yang menjadi usahawan mempunyai tiga tugas penting iaitu :
- Mempunyai
kebolehan untuk mencari peluang yang ada disekelilingnya untuk diri dan
juga syarikatnya.
- Berkebolehan
untuk mengenal pasti sumber-sumber yang ada dan diperluaskan untuk
mengambil peluang yang ada.
- Boleh
menetapkan satu objektif yang realistik untuk membolehkannya mengguna dengan
baik sumber-sumber yang ada tadi untuk merebut peluang yang terbuka.
MENGATUR STRATEGI PEMASARAN
Apakah itu pemasaran?
Dalam bahasa yang paling mudah, pemasaran bolehlah
dibayangkan sebagai jambatan yang menghubungi antara pembeli, pengguna dengan
sesuatu produk, perkhidmatan dan apa jua yang hendak ditawarkan.
Ciri-ciri strategi pemasaran yang berkesan mestilah mengambil kira
faktor-faktor berikut:
- Budaya
masyarakat setempat harus difahami dan dihayati.
- Nama
produk hendaklah mudah dan senang disebut serta sentiasa mudah diingati.
- Lakukan
promosi dan pengiklanan - usaha menyebarkan maklumat produk wajar diberi
pertimbangan dalam usaha promosi.
- Kos
efektif - kaedah dan jenis promosi yang dilakukan haruslah efektif
khususnya kos.
- Lakukan
jualan dan promosi bagi menawar atau membeli jiwa pelanggan.
- Justeru
itu peniaga/usahawan wajar belajar bagaimana mengurus dan membeli emosi
pelanggan.
- Kekalkan
hubungan dengan pelanggan - ingat namanya dan senyum selalu.
Strategi pemasaran yang berkesan mestilah berkeupayaan untuk
menghebohkan produk atau perkhidmatan kepada seramai bakal pembeli yang boleh
tanpa halangan geografi dan demografi.
16 TIP USAHAWAN KAUM CINA
Kaum Cina merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan sering dijadikan contoh.
Tidak salah mengambil iktibar yang baik daripada mana-mana kaum sekalipun
selagi ia tidak bertentangan dengan pegangan Islam. Anda sebagai usahawan yang
baru meningkat naik juga boleh mencontohi golongan peniaga ini:
- Berniaga
mestilah rajin, jika tidak, ia tidak menjadi.
- Belanja
mesti jimat, jika tidak, putus modal.
- Sambut
pelanggan dengan senyuman, jika tidak, pelanggan lari.
- Masa
sentiasa terbuka, jika tidak, hilang peluang.
- Harga
perlu berpatutan, jika tidak, timbul pergaduhan.
- Memberi
hutang perlu kenal orangnya, jika tidak, hilang modal.
- Akaun
perlu disemak sendiri, jika tidak, tidak tahu kekuatan modal.
- Beri
tawaran perlu jelas dan terang, jika tidak, ia tidak teratur.
- Barangan
perlu dikemas, jika tidak, ibarat sampah sarap.
- Beri
arahan pekerja ikut peraturan, jika tidak, akan memakan diri.
- Barangan
mesti disemak sendiri, jika tidak, rendah nilai dan mutunya.
- Tempoh
waktu tidak boleh lewat, jika tidak, hilang kepercayaan.
- Harta
peribadi dan syarikat perlu jelas, jika tidak, timbul penyelewengan.
- Keluar
masuk tunai perlu teliti, jika tidak, bertindih kesilapan.
- Menghadapi
masalah perlu diselesaikan segera dengan baik, jika tidak, mudarat diri
- Niat
mesti kukuh dan jelas.
CIRI-CIRI PENIAGA ISLAM
- Niat
berniaga mesti betul. Misalnya hatinya berkata begini, "Di tempat ini
ramai umat Islam, tapi satu pun tak ada kedai runcit. Ini hal fardu
kifayah. Kalau tak selesai ertinya semua umat Islam di sini menanggung
dosa. Kalau begitu aku nak buka kedai runcit." Itu adalah niat yang
betul, yang tidak betul, hatinya berkata, "Aku nak berniaga supaya
untung, bila untung aku akan jadi orang kaya, semua orang akan pandang dan
kagum dengan aku".
- Perkara
yang diniagakan sah atau halal menurut Islam. Setiap barangan yang
diniagakan mestilah barangan yang halal dan tidak mendatangkan mudarat kepada
umat Islam dan manusia keseluruhannya. Orang Islam dilarang atau
melibatkan diri dalam perniagaan berbentuk judi, arak, pelacuran dan
sebagainya.
- Perlaksanaan
atau pengendalian kedai hendaklah dijalankan mengikut syariat. Timbangan
atau sukatan mestilah betul, tidak ada penipuan dan tidak ada unsur-unsur
riba.
- Natijah
mesti betul. Hasil keuntungan mestilah disalurkan kepada kehendak syariat.
Apabila mendapat untung, cukup haul maka keluarkanlah zakat. Membantu
fakir miskin, menderma kepada masjid dan surau, berkorban untuk jihad
fisabilillah dan sebagainya. Natijah yang tidak betul ialah digunakan
keuntungan daripada perniagaan itu ke meja judi, ke tempat-temapt hiburan
yang melalaikan dan lain-lain lagi.
- Jangan
tinggalkan solat. Berniagalah pada bila-bila masa yang anda mampu tetapi
jangan sampai meninggalkan solat. Solat itu ialah fardu ain dan lebih
utama daripada berniaga. Perniagaan yang dijalankan oleh orang-orang yang
tidak solat tidak diterima sebagai ibahdah di sisi Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment