Monday, 14 October 2013

Pasaran lebih luas
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri

Petaling Jaya: Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd terus melebarkan perniagaannya apabila berjaya menembusi pasaran Watson’s Personal Care Stores (Malaysia) Sdn Bhd menerusi produk herba, penjagaan kulit dan kosmetiknya di lebih 100 cawangan Watson’s seluruh negara.

Pengarah Eksekutifnya, Norhayati Kamarzaman berkata, pihaknya yakin menerusi rangkaian Watson’s, orang ramai lebih mudah mendapatkan produk Sendayu Tinggi sekali gus menembusi sasaran pengguna dan ahli Watson’s yang berjumlah dua juta orang.

Katanya, menjelang akhir tahun ini, Sendayu Tinggi juga akan memenuhi lebih 200 cawangan Watson’s di seluruh Malaysia serta menampilkan pelbagai jenis produk dari harga serendah RM13 hingga RM48.
“Kami menyasarkan menerusi penembusan perniagaan di rangkaian Watson’s ini dapat meningkatkan jualan Sendayu Tinggi dan 35 hingga 40 peratus menjelang akhir tahun.

“Selain itu, kami juga akan terus memfokus kepada cawangan Sendayu Tinggi sendiri yang sekarang ini sudah mempunyai 33 cawangan seluruh Malaysia dan mencatat jualan bulan lebih kurang RM40,000 sebulan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran rasmi kerjasama dengan Watson’s di sini, semalam. Hadir sama, Pengasas Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim.

Norhayati berkata, pihaknya turut merancang untuk membuka 17 cawangan Sendayu Tinggi bagi menjadikan jumlah keseluruhan 50 cawangan menjelang akhir tahun ini dan lokasi pula adalah di Melaka, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, modal yang diperuntukkan untuk membuka satu cawangan dianggarkan antara RM250,000 dan RM500,000 bergantung pada saiz, lokasi dan produk.Beliau berkata, sejak Sendayu Tinggi ditubuhkan terdapat lebih 500 barisan produk yang dikeluarkan merangkumi semua aspek kesihatan, penjagaan diri dan kecantikan.


“Kami juga merancang untuk melancarkan antara lima dan 10 produk makanan tambahan kesihatan herba dan kosmetik baru tahun ini dan setakat ini pengguna berpuas hati dengan produk Sendayu Tinggi kerana selain harga berpatutan, kami juga unik serta eksklusif kerana produk diformulasi dan dikilangkan sendiri,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Pasaranlebihluas/Article

No comments:

Post a Comment