Saturday, 2 November 2013

Petikan Wawancara Dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary

MINGGUAN: Bagaimanakah Tan Sri melihat hubung kait diri Tan Sri dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?
SYED MOKHTAR: Saya menikmati jasa dasar itu semasa memulakan perniagaan dulu, daripada pinjaman Mara sehinggalah kepada bangunan kedai UDA. Saya produk DEB tetapi semua ini melalui proses selama 34 tahun.
Pada tahun 1970, arwah bapa saudara bayar seringgit suruh saya masuk UMNO. Saya menjadi ahli biasa saja, tidak aktif kerana fokus saya ialah kepada perniagaan. Bagaimanapun saya percaya kepada UMNO kerana ia parti yang mendukung dasar itu.

Dalam tempoh lebih 34 tahun ini, apakah rahsia kejayaan Tan Sri?
SYED MOKHTAR: Tidak ada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama saja, cuma proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa saja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa.
Saya sendiri melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk sampai ke tahap ini. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini dari kecil lagi, dan saya juga biasa kena tipu.
Saya memang sudah buat keputusan dari awal bahawa saya mahu buat sendiri. Saya tidak gadai lesen dan permit yang saya ada.

Ini tentang know how atau know who?
SYED MOKHTAR: Semasa mula berniaga dulu saya tidak ada kenal sesiapa. Tetapi selepas saya mengembangkan perniagaan ini memang faktor know who itu penting juga. Bangsa lain tidak mengapa tetapi orang Melayu dalam berniaga kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit.
Tetapi saya juga anak UMNO. Saya percaya kepada UMNO dan DEB. Dasar itu tidak sia-sia. Saya boleh mempertahankan manfaatnya. Ini bukan masalah dasar tetapi masalah manusia yang tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik.
Saya juga mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang saya tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan susah tetapi itulah jalan yang kekal.

Tidak banyak peniaga Melayu yang buat macam Tan Sri – dapat empat permit lori walaupun cuma mampu pakai dua, yang baki itu tidak dijual.
SYED MOKHTAR: Alhamdulillah, Tuhan tidak gerakkan hati saya buat kerja-kerja itu. Saya yakin, insya-Allah dua buah lori lagi saya boleh beli kalau saya rajin berusaha.
Saya percaya kalau perniagaan saya maju dan tidak cukup lori, saya tentu kena minta lagi. Jadi walaupun hanya mampu beli dua buah lori, dua lagi permit itu saya simpan untuk masa depan.

Maksudnya kena sabar menunggu?
SYED MOKHTAR: Memang kena banyak sabar dan kuat berusaha. Semasa mula-mula berniaga dulu saya pun biasa kena tindas, bukan saja dengan bangsa lain tetapi dengan orang Melayu yang dipergunakan.
Saya terpaksa bersaing dengan orang Cina yang sudah jauh lebih maju dan boleh juga mendapatkan lesen daripada orang Melayu yang sanggup menggadainya.

Semasa mula berniaga Tan Sri bekerjasama dengan orang Cina. Kenapa?
SYED MOKHTAR: Kita perlu menggunakan kepakaran mereka kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham, kita berkongsi dengan mereka dengan tujuan untuk belajar daripada mereka. Apabila sudah faham barulah kita boleh menjaga kepentingan kita.
Sampai sekarang saya masih berkongsi dengan orang Cina tetapi saya juga terlibat secara aktif dalam perniagaan itu.

Bagaimanakah lahirnya Yayasan Al-Bukhary ini?
SYED MOKHTAR: Apabila saya dapat rezeki sedikit ditambah pula dengan didikan ibu bapa saya, saya mula menolong orang. Itulah juga punca saya mewujudkan yayasan di Alor Star itu. Insya-Allah, harapan saya setelah mati nanti yayasan itu tetap kekal dan terus memberi bakti.
Selain Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur saya juga buka pusat tuisyen. Sebenarnya saya hendak buat sudah lama tetapi tiada siapa yang sanggup hendak tengok-tengokkan sehinggalah saya dapat tahu Datuk Seri Shukor Abdullah (bekas Ketua Pengarah Pendidikan) bersara. Saya cari dia dan dia sanggup untuk melaksanakan hasrat ini. Ini daripada hati saya, siapa pun tidak suruh.
Projek ketiga yayasan ialah Kompleks Al-Bukhary di Alor Star. Itu asalnya tanah datuk saya dan masjid itu asalnya dia yang bina. Saya sebenarnya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
Dalam hal ini, apabila saya masuk ke dalam masyarakat saya tidak lihat orang itu UMNO atau Pas. Kalau orang itu memerlukan bantuan, kalau boleh ditolong, saya tolong. Dalam hal-hal kemasyarakatan tidak ada UMNO dan Pas.

Maksudnya?
SYED MOKHTAR: Orang Melayu semuanya sama. Pendirian politik itu terpulanglah kepada diri masing-masing. Dalam kompleks masyarakat itu kita semua sama. Dalam soal kemajuan ummah kita mesti bersatu.

Prof. Diraja Ungku Aziz dalam satu wawancara sebelum ini menyebut bahawa orang Melayu tidak berfikir seperti satu ummah. Orang Melayu individualistik. Tan Sri nampaknya bukan dari golongan itu?
SYED MOKHTAR: Saya fikir soal parti adalah hak masing-masing. Apabila hidup bermasyarakat, kita tidak sepatutnya mengasingkan ini orang UMNO, ini orang Pas. Saya memberi bantuan hanya atas dasar sebagai orang Islam. Soal ideologi atau perjuangan mana yang betul, hanya Allah yang akan menentukannya.
Dalam menjayakan agenda Melayu, orang Melayu sendiri kena tolong orang Melayu. Tidak guna kita buat seminar sana sini tetapi tidak mahu menolong bangsa sendiri untuk jadi maju. Kita kena berusaha, baru orang Melayu boleh jadi kuat.
Apabila kuat, kita tidak lagi ditindas. Jangan kita bercakap tentang agenda Melayu dalam Perhimpunan Agung UMNO tetapi selepas itu kita senyap. Sepatutnya semua orang kena buat kerja, bukannya bercakap saja.

Apa pandangan Tan Sri kepada korporat Melayu yang tidak mahu tolong Melayu?
SYED MOKHTAR: Mereka mungkin tidak nampak ini sebagai kewajipan kerana mereka tidak melalui kesusahan. Saya pun suka kepada kemewahan. Saya pun suka pergi tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok.
Tetapi kita ini hendak mewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?
Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah. Kita tidak boleh mengagung-agungkan diri kita sangat. Masalahnya sekarang ada yang sudah ke atas tetapi tidak mahu turun ke bawah.

Kenapa ini berlaku?
SYED MOKHTAR: Mungkin kerana kurang didikan dan nilai sehingga hidup jadi terbawa-bawa. Tidak mengapa kalau mereka boleh hisap curut RM500. Tetapi tidak semestinya bermakna mereka tidak boleh turun ke bawah membantu orang.
Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa Dia boleh ambil balik. Mereka bersikap begini boleh jadi kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
Ini berbeza dengan orang Cina yang ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tidak mahu berusaha, apabila orang lain usaha, mereka marah.

Inikah pegangan Tan Sri dari dulu lagi; rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain?
SYED MOKHTAR: Saya fikir memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

Tan Sri melihat menolong orang lain itu satu tanggungjawab?
SYED MOKHTAR: Apabila kita memberi kerja kepada orang lain, ia juga satu amalan kerana kerja mendatangkan rezeki kepada mereka. Sekarang kumpulan saya ada 36,000 pekerja. Ini satu tanggungjawab kepada saya, bagaimana hendak menjadikan mereka ini maju, dapat bonus dan sebagainya.

Kalau Tan Sri tidak buat semua ini apa Tan Sri rasa?
SYED MOKHTAR: Saya akan rasa sedih kerana tidak banyak orang Melayu yang tolong Melayu. Saya tidak kisah; saya boleh tidak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya akan rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata, kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat.
Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa. Tetapi semua ini sebenarnya bukan mampu saya buat seorang.
Saya ada emotional attachment kepada agama, negara, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak mustahak. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.
Kalau saya dulu tidak dapat peluang belajar tinggi, kenapa pula saya hendak sekat peluang orang lain? Lagipun saya datang daripada golongan itu. Kalau ada rezeki lebih sedikit takkan saya sanggup lupakan mereka.

Tan Sri mengharapkan lebih ramai lagi orang Melayu yang berjaya seperti Tan Sri?
SYED MOKHTAR: Saya kadang-kadang sedih apabila media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya.
Tetapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat, tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi.
Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

Apakah yang selalu Tan Sri fikirkan?
SYED MOKHTAR: Saya selalu fikir bagaimana hendak mengekalkan kumpulan ini untuk masa depan; bagaimana hendak menjalankan semua projek di bawah yayasan.
Sebahagian daripada keuntungan kumpulan ini saya khaskan kepada kos operasi Yayasan Al-Bukhary yang akan menempatkan 3,000 pelajar dari negara-negara Islam – 70 peratus pelajar antarabangsa, 20 peratus pelajar kita dan 10 peratus bukan Islam.
Kita memberikan fokus kepada soal pendidikan anak bangsa. Kelas tuisyen itu boleh dikatakan 100 peratus untuk anak Melayu. Universiti itu pula adalah untuk pelajar-pelajar yang cerdik tetapi tidak ada kemampuan.
Kita akan ambil mereka dan beri bantuan seratus peratus. Kita mahu mereka menjadi profesional yang apabila tamat pengajian boleh pulang ke negara masing-masing dan membantu masyarakat mereka pula.

Salah satu masalah ekonomi orang Melayu ialah pengangguran di kalangan siswazah. Dalam hal ini misalnya apakah yang boleh Tan Sri lakukan?
SYED MOKHTAR: Saya telah meminta kumpulan kami mengkaji masalah ini dan mengambil sekumpulan mereka bekerja dan memberikan latihan. Insya-Allah kami akan sentiasa mencari perniagaan baru, mungkin daripada swasta atau kerajaan. Kalau daripada kerajaan orang mungkin akan menjadikannya sebagai isu lagi.
Tetapi kalau kita terus mencari peluang dan perniagaan lain kita akan terus dapat membantu orang lain untuk mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya sendiri semata-mata.

Laporan-laporan tentang Tan Sri selama ini, itu maksudnya bukanlah untuk mengembangkan kekayaan peribadi?
SYED MOKHTAR: Diri saya tidak mustahak. Kalau saya hendak ambil alih mana-mana syarikat pun saya mesti ada kemampuan untuk menguruskannya.
Orang tidak tahu bahawa apabila saya mengambil sesetengah syarikat itu ia sebenarnya dapat menyelamatkan berpuluh-puluh ribu keluarga pekerjanya yang sebahagian besarnya ialah orang Melayu.
Tetapi apabila saya mengambil alih syarikat-syarikat itu orang bertanya apakah tidak ada orang lain selain daripada Syed Mokhtar?

Orang tidak bercakap tentang hal-hal di belakang itu.
SYED MOKHTAR: Perkara yang elok lambat orang tahu. Saya ini ada dibenci orang. Orang kata saya tamak, ambil semua peluang yang ada dan hendak jadi kaya seorang. Kaya apa?
Kaya itu bukanlah pada diri saya. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara saja.
Saya tidak ada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tetapi apa yang saya lakukan sekarang.
Tetapi banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

Apakah yang orang tidak tahu tentang syarikat-syarikat yang Tan Sri miliki itu?
SYED MOKHTAR: Sesetengah daripada syarikat itu bermasalah; saya membeli untuk menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan bangsa lain atau orang Melayu sendiri yang boleh membawa lebih kerosakan. Saya tidak menggadaikan hak dan kepentingan orang kita.
Tetapi kerja saya bukan beli syarikat. Saya ada perniagaan sendiri – syarikat lori dan beras. Alhamdulillah, Tuhan memberikan saya kekuatan untuk ke depan apabila ada peluang.
Walaupun sesetengah syarikat itu bermasalah tetapi saya melihatnya sebagai satu peluang juga – bagaimana hendak mengubahnya. Tetapi saya tidak pernah ambil daripada mulut orang Melayu lain; sudah hendak sampai ke kerongkong saya ambil, saya tidak buat begitu.
Apa yang saya dapat ini adalah daripada usaha saya sendiri. Ada juga yang saya usaha tetapi tidak dapat dan orang tidak tahu. Apa yang saya dapat itu pula yang menjadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua.
Orang kita terlupa bahawa bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi negara ini. Siapa pula yang memberikan pelbagai kemudahan untuk membolehkan mereka memegang kepentingan itu? Siapa pun tidak kata apa. Inilah masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik Pas dan UMNO; di bandar, berpecah kerana ini.
Saya tidak pergi cari mana syarikat hendak saya beli. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
Orang tidak tahu bagaimana saya rugi lebih RM2 bilion dalam pelaburan semasa kegawatan 1997 semata-mata kerana hendak melindungi 30 peratus kepentingan orang Melayu.

Setiap kali mendapat rezeki daripada Tuhan, apakah yang Tan Sri rasakan?
SYED MOKHTAR: Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok, bukan lebai pondok. Tetapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu kita minta terus daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
Orang kata saya tidak ada duit tetapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tidak berhutang. Tetapi kita mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara kita boleh buat.
Kalau beratus-ratus orang Cina dalam bandar boleh buat kenapa saya orang Melayu tidak boleh? Tetapi kerana saya Melayu orang menjadikannya sebagai satu isu. Inilah masalahnya.
Tidak ada salahnya berhutang kalau berniaga. Tetapi sebelum berhutang RM100 juta kita mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Soal tanggungjawab ini yang banyak orang tidak sanggup pikul. Banyak orang mahu senang tetapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab. Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama. Emak saya mengajar: Kalau dapat lebih, beri lebih; kalau kurang, beri kurang.

Tan Sri ada sikap yang begitu sensitif kepada keperluan anak bangsa dan saudara seagama. Soalnya kenapakah tidak banyak korporat Melayu yang ada sikap sebegini?
SYED MOKHTAR: Mungkin kerana masalah didikan atau kerana mereka naik dengan begitu mudah. Atau mungkin juga kerana pergaulan mereka. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal-usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.
Saya sangat berterima kasih kepada emak saya yang ambil setengah daripada duit pertama saya dulu. Kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal.
Saya manusia yang banyak juga melakukan kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

Adakah Tan Sri rasa keseorangan melakukan semua ini?
SYED MOKHTAR: Saya fikir banyak orang yang buat begini juga tetapi dengan cara mereka sendiri. Insya-Allah kita berdoa mereka akan buat lebih lagi pada masa akan datang.
Saya buat apa yang tergerak dalam hati dan apa yang boleh dicapai oleh tangan. Saya juga insaf bahawa diri saya tidak kekal; saya hanya seorang hamba Allah yang kalau ditakdirkan hidup sehingga 70 tahun umur saya hanya tinggal 17 tahun saja lagi.
Oleh itu saya suka melakukan perkara yang kekal dan berterusan seperti yayasan ini. Kalau bangsa lain boleh ada macam-macam yayasan kenapa tidak kita? Apa yang penting ialah komitmen. Pendekatan saya selari; sambil mencari rezeki saya juga menyumbang semula kepada masyarakat.
Saya sendiri tumpang seronok melihat orang lain mendapat kesenangan daripada sedikit apa yang saya ada ini.

Tan Sri seronok melihat orang lain dapat berkembang hasil daripada rezeki yang Tan Sri nikmati?
SYED MOKHTAR: Ya. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

Harapan Tan Sri kepada orang Melayu lain yang juga sudah berjaya?
SYED MOKHTAR: Insya-Allah, kebanyakan orang Islam ini baik-baik, ada niat yang baik. Bukan mereka tidak mahu menolong tetapi mungkin masanya belum sampai atau Tuhan belum menggerakkan hati mereka lagi. Mungkin juga mereka ada masalah maklum saja selepas tahun 1997 masih belum banyak yang pulih semula.
Saya sendiri sambil berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya berdoa apabila nanti saya pejam mata masa itu juga hutang pun habis, perniagaan dan amal jariah pun sama-sama berjalan elok.
Saya tidak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat buat.

Kepada orang Melayu yang sanggup hisap curut RM500 tetapi susah hendak tolong orang lain, apakah yang hendak Tan Sri katakan kepada mereka?
SYED MOKHTAR: Kalau mereka hendak hisap curut, pakai kereta Porsche atau duduk rumah besar, tak apa. Cuma ingat-ingatlah juga tanggungjawab untuk membantu anak bangsa.
Kita tidak boleh marah kepada mereka. Kita ingat-ingatkan saja. Kebanyakan mereka itu orang yang bagus-bagus; mungkin terbawa-bawa saja. Kepada saya ini masalah kecil saja. Masalah yang lebih besar ialah diri kita sendiri. Orang Melayu kena yakin dan berusaha untuk terus memajukan diri.

Harapan Tan Sri kepada orang Melayu keseluruhannya?
SYED MOKHTAR: Peluang kita semua sama; saya tidak dapat lebih dan tidak dapat kurang. Cuma satu saja saya minta daripada orang Melayu: Beri masa sedikit kepada apa yang hendak diusahakan.
Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok-belok perniagaan, insya-Allah boleh maju.
Mereka juga kena fokus, majukan diri dan selalu meningkatkan kemahiran. Kalau sudah maju dan hendak mempelbagaikan perniagaan, masa itu tidak mengapa.
Kita juga jangan cepat berputus asa. Putus asa boleh tetapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Kita juga jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

Bolehkah orang Melayu maju?
SYED MOKHTAR: Tidak ada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun kalau ada yang mengatakan orang Melayu tidak boleh maju. Cuma nasihat saya kalau hendak jadi apa pun, jadilah yang terbaik dalam bidang masing-masing sehingga kukuh bertapak.
Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari mahu ambil alih akhbar itu. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

Cara hidup Tan Sri bagaimana?
SYED MOKHTAR: Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tetapi tidak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun. Jangan amalkan cara hidup yang tidak boleh ada fleksibiliti.
Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tetapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
Saya juga tidak bermain golf kerana kepada saya ia memakan banyak masa. Tetapi tidak semestinya orang yang main golf itu tidak bagus atau orang yang tidak main itu lebih bagus.
Saya pun tidak ada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu benda yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau orang ramai mendapat nikmatnya.
Tetapi pada masa akan datang tidak tahu lagi. Kalau panjang umur saya berniaga ke negara-negara lain dan ketika itu saya memerlukan, mungkin saya akan beli juga kapal terbang. Setakat ini Proton Perdana sudah memadai.

Tetapi orang Melayu umumnya apabila berniaga perkara pertama yang dilakukan ialah beli kereta mewah.
SYED MOKHTAR: Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi yang negatif kepada orang Melayu. Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Jangan kita memberikan gambaran bahawa ini sebenarnya yang perlu mereka buat. Sesiapa pun memang mahu semua itu tetapi bukan itu matlamatnya.
Kita kena tekankan hal-hal yang positif tentang orang Melayu. Orang Melayu boleh jadi yang terbaik dalam apa juga bidang kerjaya mereka. Itu yang perlu kita lakukan.

Di kalangan orang Melayu masih ada pemikiran bahawa kerajaan perlu menolong mereka. Bagaimanakah Tan Sri melihat realitinya?
SYED MOKHTAR: Saya ingat kena tengok tahap-tahapnya. Kerajaan kena tolong orang Melayu. Orang Melayu mesti naik berperingkat-peringkat. Bantuan kerajaan sentiasa ada. Sistemnya sudah ada. Kalau orang Melayu masuk ke dalam sistem itu, mereka sudah boleh jalan ke depan.
Tetapi seperti saya katakan tadi mereka perlu melalui proses ujian masa. Mereka yang perlukan bantuan ini ialah mereka yang hendak cepat dan tidak faham apa. Orang Melayu sebenarnya tidak perlu meminta kerajaan membantu kerana dasar itu memang sudah ada. Orang Melayu sebenarnya yang kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
Saya mendapat nikmat daripada DEB sejak awal pelaksanaannya lagi. Ketika itu lebih susah kalau hendak dibandingkan dengan peluang-peluang yang ada sekarang.

Adakah Tan Sri puas hati dengan apa yang sudah dilakukan ini?
SYED MOKHTAR: Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada air segelas, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

Apakah yang Tan Sri rasa apabila melihat orang yang menerima bantuan daripada yayasan ini?
SYED MOKHTAR: Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
Saya gembira dapat membantu. Kalau saya boleh beli seekor lembu untuk sebuah kampung yang sudah lama tidak makan daging, saya rasa gembira. Saya rasa seronok dapat bawa anak-anak dari luar datang ke Kuala Lumpur, tengok lampu-lampu yang cantik.
Saya tahu bagaimana perasaannya. Saya mahu orang lain merasai apa yang saya pernah rasa. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan kita beri kurang daripada itu, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

Tan Sri tentu rasa boleh menyumbang lebih lagi daripada ini?
SYED MOKHTAR: Memang itulah yang selalu saya rasa. Saya kata kepada kawan-kawan apa yang kita buat ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.
Insya-Allah, kalau orang Melayu lain boleh bersama-sama membantu tentulah lebih baik. Ayah saya kata, guni beras kalau seorang pikul memang berat tetapi kalau ramai-ramai kita pakat pikul ringan jadinya.

Kenapa beri wawancara sekarang?
SYED MOKHTAR: Saya rasa saya perlu tampil untuk membetulkan pandangan-pandangan yang serong tentang diri saya itu. Saya kena membela diri. Setidak-tidaknya saya jelas dengan apa yang hendak saya lakukan. Terpulang bagaimana umum hendak menerimanya.
Kepada saya, apa yang benar itu akan kekal. Saya segan kerana kerja saya yang sedikit ini orang besar-besarkan. Niat saya baik tetapi orang fikir sebaliknya. Saya bukan orang jahat. Saya asal orang miskin.
Saya pun sebenarnya bukan hendak menonjol-nonjolkan diri. Saya hormat kepada pemimpin. Saya akan sama-sama membantu. Pemimpin datang dan pergi tetapi saya hormat kedudukan itu. Perjuangan yang mereka tentukan itu akan terus saya bantu.

Sumber dari http://dahalmi.wordpress.com/2010/09/24/petikan-wawancara-dengan-tan-sri-syed-mokhtar-albukhary/

Keikhlasan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary Wajar Dicontohi

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang diumumkan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429H/2008M sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya dengan membantu golongan kurang berkemampuan. 

Sehingga ke hari ini beliau masih lagi meneruskan menginfak separuh dari pendapatannya untuk memajukan Ummah terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan.Corak kehidupan beliau wajar dicontohi dan diikuti untuk memajukan lagi umat islam.

Beliau pernah membantu bapanya berniaga lembu dan kini merupakan antara ahli perniagaan bumiputra terkaya. Syarikat Kumpulan Albukhary yang ditubuhkan oleh beliau terbabit dalam beberapa industri utama negara seperti pengangkutan, logistik, utiliti, automotif, pertahanan, makanan serta perbankan Islam. Penubuhan Yayasan Albukhary juga berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja-kerja amal di Malaysia dan di luar negara.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dilahirkan pada 1951, di sebuah kampung di Alor Setar, Kedah. Ibu bapanya menjadi teladan dengan menggalakkan anak-anak berkongsi titik peluh dengan mereka yang tidak berkemampuan dan bekerja keras untuk membina hidup yang lebih baik untuk keluarga dan masyarakat.

Beliau mengutamakan amalan kebajikan sebagaimana amalan perniagaan. Lebih RM1 billion telah disumbangkan menerusi yayasan kebajikannya, membantu umat Islam bukan sahaja kepada warga Malaysia malah kepada umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia.

Jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Dr. Abdullah bin Md Zin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mendapati beliau layak dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah pada tahun ini yang menepati kriteria-kriteria berikut:
Pertama: Berpengetahuan luas dan mendalam dalam disiplin ilmu yang dimanfaatkan ke arah pembangunan ummah, agama dan negara;
Kedua: Mempunyai sifat dan peribadi yang unggul yang boleh dijadikan teladan;
Ketiga: Telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam dan pembangunan ummah; dan
Keempat: Ketokohannya mendapat pengiktirafan dan diterima oleh masyarakat umum.

Sumber dari http://www.islam.gov.my/en/keikhlasan-tan-sri-syed-mokhtar-albukhary-wajar-dicontohi

Sendayu Tinggi bakal ke luar negara

Ditulis oleh NORHANA FARIZA HARUN

Melihat kepada kehidupan mewah yang di kecapinya hari ini, tiada siapa menyangka Pengasas merangkap Pengarah Urusan Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd, Rozita Ibrahim pernah menjalani sisi kehidupan dihimpit kemiskinan satu ketika dulu.

Atas faktor kemiskinan itu, Rozita lantas bangun cari peluang tingkatkan taraf hidup, sekali gus mengubah kehidupannya menjadi lebih baik. Kecintaannya terhadap dunia kosmetik dan kecantikan membawa Rozita ceburi perniagaan dengan menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise pada 1998 dan kemudian menukar nama kepada Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd pada 2003.

Menurutnya, dia melihat perbezaan ketara antara mereka yang mengamalkan kesihatan menggunakan bahan herba dengan mereka yang tidak mengamalkannya. Secara tidak langsung, menguatkan semangatnya membantu masyarakat dengan menghasilkan pelbagai produk yang bukan sahaja terdiri daripada produk berasaskan herba bagi kesihatan dalaman tetapi juga produk kosmetik bagi kecantikan luaran.


Produk berkualiti, harga berpatutan

Apabila menyebut tentang Sendayu Tinggi, pasti ramai terfikir bahawa jenama ini nampak eksklusif, maka harganya juga sudah pasti mahal. Namun, sebaliknya, produk Sendayu Tinggi adalah berpatutan dan sesuai bagi golongan pertengahan.

Sementara itu, mengulas tentang persaingan antara pengusaha produk kosmetik lain, katanya, dia mengambilnya sebagai persaingan sihat. Malah, dia tidak akan sekali-kali meniru produk orang lain.

“Kami tidak perlu meniru produk lain kerana kami mempunyai identiti dan formula tersendiri. Saya sendiri sangat mengagumi teknologi kecantikan dari Jepun, Jerman dan perubatan tradisional Ayur Veda,” katanya.


Kembangkan perniagaan secara francais

Bermula awal tahun depan, Sendayu Tinggi akan mengorak langkah mengembangkan perniagaan ke luar negara secara francais. Menurut Rozita, sistem francais ini hanya akan dijalankan untuk operasi luar negara dan dijual kepada mereka yang berminat.

Ia adalah sebagai salah satu usaha bagi menerokai pasaran luar Malaysia. Manakala, untuk operasi dalam negara, ianya diuruskan sendiri oleh syarikatnya.

Menurutnya lagi, jenama Sendayu Tinggi telah mendapat permintaan untuk dijalankan secara francais dari pihak luar. Namun, pelbagai syarat harus dipatuhi sebelum sesebuah perniagaan itu mampu bergerak menerusi konsep tersebut.

“Buat masa ini, Sendayu Tinggi masih beroperasi menggunakan lesen. Malah, kami telah mula menguruskan hal berkaitan lesen ini sejak empat tahun lalu.

“Sebenarnya, kami belum terfikir untuk buka cawangan di luar Malaysia. Tetapi, jika permintaan meyakinkan, kami akan ambil peluang untuk buka satu atau dua buah cawangan. Jika segalanya berjalan lancar, baru kami akan fikir sama ada untuk jual ataupun uruskan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, antara permintaan yang telah diterima termasuk dari Indonesia, Filipina dan beberapa negara Asia lain. Bagaimanapun, ada yang telah membawa produk Sendayu Tinggi ke London dan Dubai.


Bakal keluarkan wangian sendiri

Sebagai inisiatif mempelbagaikan produk rangkaiannya, Sendayu Tinggi akan mengeluarkan wangian sendiri menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, bagi mengukuhkan lagi operasi perniagaannya, Sendayu Tinggi akan membuka lima cawangan termasuk di Dungun; Temerloh; Bangi; Sandakan dan Kuala Selangor.

Dalam pada itu, antara strategi bagi bertahan sehingga kini ialah sentiasa menekankan kualiti produk, mempelbagaikan pilihan dengan perkenalkan produk baru, mengadakan promosi dan dekatkan diri dengan pengguna.

                               Sendayu Tinggi - Salmon Placenta & Perfect Skin Treatment

Sumber dari http://polopoly.karangkraf.com:8080/preview/www/2.657/2.662/1.47736

Monday, 14 October 2013

Kisah Kejayaan Pengasas Produk Sendayu Tinggi Puan Rozita Ibrahim

Puan Rozita Ibrahim adalah seorang usahawan wanita yang berjaya dengan jenama Sendayu Tinggi. Bila membaca kisah kejayaan beliau, kita pasti akan mendapat motivasi kerana walau apa jua latar belakang kita, jika kita berusaha, pasti akan mendapat kejayaan. Jom baca artikel dibawah.

Hidup ini ada penawar dan racun

WANITA ini mengakui pernah menjadi penoreh getah, hidup penuh kedaifan dan serba kekurangan hinggakan pada suatu ketika bayinya diberi minum sirap bagi menggantikan susu. Kepayahan dan penat jerihnya tidak berbayar dengan kesenangan malah ia pernah meragut nyawa anak keduanya yang sakit dan lumpuh ekoran tidak berwang untuk mendapatkan rawatan terbaik.

Pepatah hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat sungguh terkesan di hati dan mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat bagi memperoleh pendapatan yang selesa.Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan empayar perniagaan sendiri, Rozita Ibrahim mengakui pelbagai peristiwa duka melingkari perjalanan hidupnya.

Ketabahan, kekuatan dan sentiasa yakin terhadap usaha sendiri dibalas dengan kejayaan yang mengangkat dirinya menjadi usahawan yang disegani. Baru-baru ini beliau dianugerahkan Usahawan Wanita 2005 oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). 

Kepada wartawan RAHANA MD dan jurugambar MOHD. SHAHARANI SHAIBI, Rozita berkongsi sedikit pengalaman hidupnya di ibu pejabat Sendayu Tinggi yang terletak di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

1. Boleh ceritakan sedikit apakah yang mendorong anda untuk berubah?
ROZITA: Kesusahan yang melingkari hidup sejak kecil. Dek kerana kemiskinan yang diwarisi daripada keluarga, saya hidup serba kekurangan. Saya dikahwinkan dalam usia belasan tahun dengan lelaki yang bukan daripada golongan senang menjadikan kepayahan yang terbeban berganda.
Di sisi suami, saya menoreh getah dan menjalankan perniagaan kedai runcit namun kami tetap susah.
Jodoh kami tidak lama, di mana akhirnya membawa saya ke kota dan membuat macam-macam kerja daripada kerja kilang, penyambut tetamu, eksekutif promosi dan pemasaran hinggalah ke perniagaan jualan langsung. Terasa lapang sedikit tetapi saya mahu lebih berjaya kerana enggan hidup melarat lagi.

2. Justeru, apakah yang anda lakukan seterusnya?
Selepas menjalani episod duka yang berterusan saya mengambil keputusan menghasilkan perniagaan sendiri. Alam semula jadi paling hampir dengan kehidupan saya sejak kecil dan saya akui pernah menggunakan tumbuhan hutan untuk mengubat anak kedua yang sakit dan lumpuh semasa saya hidup susah.

Bermodalkan RM400 saya mulakan perniagaan dengan menjadikan herba sebagai sandaran. Untuk meyakinkan pelanggan, saya gemukkan badan, kemudian makan dan amalkan produk yang dijual dan hasilnya memuaskan. Saya lakukan sebanyak tiga kali dan mula menjual dari rumah ke rumah. Sambutan yang diterima menggalakkan dan mendorong saya menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise pada awal tahun 2000 dengan menyewa kedai di Plaza Majlis Perbandaran Klang.

3. Apakah anda berpuas hati dengan hasil yang dicapai ketika itu?
Syukur, seperti yang direncanakan, perniagaan saya berkembang maju dan sambutan terhadap produk Sendayu Tinggi amat menggalakkan terutama produk pelangsingan badan. Kebetulan ketika itu kebanyakan masyarakat kembali menggunakan produk warisan nenek moyang terutama herba yang sekali gus meningkatkan jualan.
Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan dan dugaan, saya mengambil keputusan meluaskan empayar. Kini Sendayu Tinggi Enterprise menubuhkan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan mempunyai sembilan anak syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd., Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd..

4. Apakah yang mendorong anda untuk terus mencipta kejayaan?
Anak-anak menjadi iltizam untuk saya terus berjuang meningkatkan pencapaian pendapatan dan ekonomi. Saya pernah menjadi wanita yang hanya mengikut perintah melakukan pelbagai pekerjaan tetapi apabila saya bangun dan berjalan, saya tidak akan menoleh lagi. Saya berjanji kepada anak-anak untuk menjadi ibu yang baik kerana dahulu saya kurang limpahan kasih sayang. Namun, saya belajar daripada pengalaman. Kasih sayang menjadi kunci kebahagiaan selama-lamanya.

5. Apakah yang anda kongsi dengan masyarakat?
Berkongsi ilmu kecantikan melalui konsep herba di samping menerapkan dalam diri mereka agar berusaha gigih dan tidak putus asa. Selain menawarkan produk yang berkualiti kepada pelanggan, saya turut menyalur sumbangan kepada masyarakat terutama golongan susah, ibu tunggal, anak yatim dan warga tua. Walaupun wang ringgit tidak mampu menandingi nilai kasih sayang tetapi saya dapat menggembirakan mereka. Saya sayangkan masyarakat dan ingin disayangi oleh masyarakat. Harapan utama saya kini mahu membantu mereka terutama ibu tunggal yang susah atau sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan dengan menjadi pengedar Sendayu Tinggi untuk meningkatkan pendapatan.

6. Apakah rahsia kejayaan yang anda raih?
Ada racun dan ubat dalam diri sesiapa sahaja dan terpulang kepada kita memilihnya. Saya berpegang kepada kejujuran dan keikhlasan yang menjadi santapan rohani dalam urusan perniagaan dan kehidupan. Saya percaya hidup ini umpama roda yang ada kala di bawah dan kemudian berada di atas, lantas semasa di puncak saya minta kepada Tuhan agar tidak lupa diri.

7. Apakah pencapaian terkini anda?
Sendayu Tinggi telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional dan kilang ini telah memperoleh lesan Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang terletak di Pulau Indah, Klang, Selangor. Jumlah pengedar kini lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun, China, Taiwan dan Korea.

8. Ke manakah hala tuju Sendayu Tinggi selepas ini?

Selepas berjaya memenuhi pasaran produk herba tradisional di pasaran Malaysia selama tujuh tahun, saya bercita-cita membentuk usahawan wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi peribadi mahupun pencapaian karier. Kebanyakan jaringan Sendayu Tinggi berjaya dibimbing melalui roadshow yang berbentuk motivasi.

Pasaran lebih luas
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri

Petaling Jaya: Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd terus melebarkan perniagaannya apabila berjaya menembusi pasaran Watson’s Personal Care Stores (Malaysia) Sdn Bhd menerusi produk herba, penjagaan kulit dan kosmetiknya di lebih 100 cawangan Watson’s seluruh negara.

Pengarah Eksekutifnya, Norhayati Kamarzaman berkata, pihaknya yakin menerusi rangkaian Watson’s, orang ramai lebih mudah mendapatkan produk Sendayu Tinggi sekali gus menembusi sasaran pengguna dan ahli Watson’s yang berjumlah dua juta orang.

Katanya, menjelang akhir tahun ini, Sendayu Tinggi juga akan memenuhi lebih 200 cawangan Watson’s di seluruh Malaysia serta menampilkan pelbagai jenis produk dari harga serendah RM13 hingga RM48.
“Kami menyasarkan menerusi penembusan perniagaan di rangkaian Watson’s ini dapat meningkatkan jualan Sendayu Tinggi dan 35 hingga 40 peratus menjelang akhir tahun.

“Selain itu, kami juga akan terus memfokus kepada cawangan Sendayu Tinggi sendiri yang sekarang ini sudah mempunyai 33 cawangan seluruh Malaysia dan mencatat jualan bulan lebih kurang RM40,000 sebulan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran rasmi kerjasama dengan Watson’s di sini, semalam. Hadir sama, Pengasas Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim.

Norhayati berkata, pihaknya turut merancang untuk membuka 17 cawangan Sendayu Tinggi bagi menjadikan jumlah keseluruhan 50 cawangan menjelang akhir tahun ini dan lokasi pula adalah di Melaka, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, modal yang diperuntukkan untuk membuka satu cawangan dianggarkan antara RM250,000 dan RM500,000 bergantung pada saiz, lokasi dan produk.Beliau berkata, sejak Sendayu Tinggi ditubuhkan terdapat lebih 500 barisan produk yang dikeluarkan merangkumi semua aspek kesihatan, penjagaan diri dan kecantikan.


“Kami juga merancang untuk melancarkan antara lima dan 10 produk makanan tambahan kesihatan herba dan kosmetik baru tahun ini dan setakat ini pengguna berpuas hati dengan produk Sendayu Tinggi kerana selain harga berpatutan, kami juga unik serta eksklusif kerana produk diformulasi dan dikilangkan sendiri,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Pasaranlebihluas/Article
Rahsia Langsing Rozita Ibrahim, Pengasas Sendayu Tinggi
Ditulis oleh Nor Amirah

KEISTIMEWAAN Rozita Ibrahim adalah mencuba setiap produk yang dihasilkan. Beliau sanggup menjadi bahan eksperimen. Jika kebanyakan produk menampilkan orang lain sebagai ‘testimoni’, Rozita sebaliknya. Pengasas Sendayu Tinggi itu menjadi model produk keluarannya, itu pun setelah memastikan keberkesanannya menerusi pengalaman diri sendiri.

Beliau tidak pernah peduli apa kata orang lain. Yang penting adalah kepuasan pengguna produk Sendayu Tinggi yang hakikatnya telah mengangkat nama Rozita sebagai salah seorang jutawan kosmetik.
Sebab itu beliau tidak pernah berhenti menghasilkan yang terbaik. Rangkaian produk Sendayu Tinggi tidak terhad untuk kecantikan semata-mata. Bagi Rozita, cantik mesti seiring dengan sihat, justeru barisan produk Sendayu Tinggi mensasarkan kedua-duanya. Menariknya, biar pun telah ada rangkaian produk untuk mengatasi sesuatu masalah, Rozita tidak mahu berhenti setakat itu. 

Beliau sentiasa mahu penambahbaikan dan menjadikan penyelidikan sebagai asas kekuatan produk yang dihasilkannya.Sebab itu biar pun Sendayu Tinggi telah mempunyai rangkaian produk pelangsingan badan misalnya, Rozita mahu melakukan penambahbaikan terutamanya apabila ada pelanggan yang tidak begitu sesuai menggunakan produk tersebut.Untuk itu, Rozita sekali lagi menjadikan dirinya sebagai bahan eksperimen, kebetulan beliau mengalami masalah kegemukan selepas melahirkan anak kira-kira dua tahun lalu.Berat badannya meningkat daripada 51 kilogram sehingga mencecah 72 kilogram.

‘‘Saya akui agak tertekan dan mengalami pelbagai masalah termasuk sukar berdiri selepas bangun tidur, sakit tumit, sakit otot dan malas bergerak.

‘‘Anak sulung saya yang juga Pengarah Eksekutif Sendayu Tinggi berseloroh agar saya kurus semula demi kesihatan dan demi jenama Sendayu Tinggi,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Biar pun nada berseloroh tetapi Noorhayati Kamaruzaman hakikatnya serius mahu ibunya kembali kurus. Beliau bimbang ibunya mengalami penyakit, selain kecantikan pengasas Sendayu Tinggi itu yang semakin tenggelam akibat masalah kegemukan, malah wajah Rozita juga kelihatan tua.

‘‘Bila gemuk bukan sahaja pipi kembang, hidung pun ikut kembang sekali. Hilang seri awet muda,’’ katanya. Sejak itu pelbagai usaha dibuat termasuk menjaga pemakanan namun usahanya selama setahun tidak membuahkan hasil.

Hasil penyelidikan Rozita dan anaknya, serta lawatan ke pameran di luar negara membawa kepada penemuan ekstrak seperti Garnicia Cambogia serta Citrus Aurantium yang sangat bagus dalam membantu proses menurunkan berat badan.Sekembalinya ke Malaysia, beliau mencuba satu formulasi daripada ekstrak tersebut dan hasilnya ternyata memberangsangkan.

‘‘Dua bulan pertama berat saya turun sebanyak 2 kilogram. Sememangnya saya sangat teruja dan pada masa yang sama mengekalkan amalan diet antara lain mengelak makanan sayuran dari pucuk, kekacang dan lain-lain,’’ katanya.

Daripada itu lahirlah minuman pelangsingan Bio Triple Slym berasaskan herba yang membantu mengurangkan selera dan menawarkan kesan tiga kali ganda lebih cepat.

‘‘Istimewanya minuman ini turut membekalkan tenaga. Gabungan diet dan produk terbaru Sendayu Tinggi ini berat badan saya turun daripada 71 kilogram kepada 52 kilogram,’’ katanya.

Teruja berjaya meyarung baju-baju lama dan penampilan diri semakin jelita, Rozita mensasarkan berat badan 48 kilogram. Mahu berkongsi resipi tampil langsing, anggun dan sihat dengan mereka yang peka kesihatan diri, Bio Triple Slym ditawarkan pada harga hanya RM44.

Selain itu, beliau turut memperkenalkan Lempoyang Heat Cream iaitu minyak panas yang memberikan kesan panas sehingga 24 jam untuk kelegaan sakit-sakit sendi, menghilangkan perut buncit selepas bersalin, mengurangkan lemak dan ketidakselesaan badan. Tentunya lempoyang menawarkan keistimewaan tersendiri berdasarkan kajian yang telah dibuat. Kedua-dua produk terkini itu melengkapkan set pelansingan awal iaitu Lucimax, Garlic Plus dan Slimmertique yang sehingga kini bertahan di pasaran.
Berminat mengetahui lebih lanjut tentang Bio Triple Slim dan Lempoyang Heat, boleh hubungi ibu pejabat Wisma Sendayu Tinggi di talian 0326935133.


Rozita Ibrahim


Saya memilih Rozita Ibrahim kerana beliau mempunyai ketabahan, kekuatan dan sentiasa yakin terhadap usaha sendiri dibalas dengan kejayaan yang mengangkat dirinya menjadi usahawan yang disegani. Rozita Ibrahim adalah seorang usahawan wanita yang berjaya dengan jenama Sendayu Tinggi. 

Bagi usahawan herba dan kecantikan terkenal, Rozita Ibrahim, walaupun umum mengetahui kejayaan beliau menaikkan nama produk Sendayu Tinggi bukanlah kejayaan yang ‘biasa-biasa,’ nyata wanita berusia 43 tahun ini sekali-kali tidak pernah mengakui dirinya berada dalam zon yang selesa.

Disebabkan kemiskinan yang diwarisi daripada keluarga, beliau hidup serba kekurangan. Beliau dikahwinkan dalam usia belasan tahun dengan lelaki yang bukan daripada golongan senang menjadikan kepayahan yang terbeban berganda. Di sisi suami, beliau bekerja sebagai penoreh getah dan menjalankan perniagaan kedai runcit namun mereka tetap susah. Walaubagaimana pun jodoh mereka tidak lama, di mana akhirnya membawa beliau ke kota dan membuat pelbagai kerja daripada kerja kilang, penyambut tetamu, eksekutif promosi dan pemasaran hinggalah ke perniagaan jualan langsung. 

Selepas menjalani episod duka yang berterusan beliau mengambil keputusan menghasilkan perniagaan sendiri. Alam semula jadi paling hampir dengan kehidupan beliau sejak kecil dan beliau pernah menggunakan tumbuhan hutan untuk mengubat anak kedua yang sakit dan lumpuh semasa hidup susah. Bermodalkan RM400 beliau memulakan perniagaan dengan menjadikan herba sebagai sandaran. Untuk meyakinkan pelanggan, beliau gemukkan badan, kemudian makan dan amalkan produk yang dijual dan hasilnya memuaskan. Beliau lakukan sebanyak tiga kali dan mula menjual dari rumah ke rumah. Sambutan yang diterima menggalakkan dan mendorong beiau menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise pada awal tahun 2000 dengan menyewa kedai di Plaza Majlis Perbandaran Klang.

Seperti yang direncanakan, perniagaan beliau berkembang maju dan sambutan terhadap produk Sendayu Tinggi amat menggalakkan terutama produk pelangsingan badan. Kebetulan ketika itu kebanyakan masyarakat kembali menggunakan produk warisan nenek moyang terutama herba yang sekali gus meningkatkan jualan. Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan dan dugaan, beliau mengambil keputusan meluaskan empayar. Kini Sendayu Tinggi Enterprise menubuhkan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan mempunyai sembilan anak syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd., Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd..

Anak-anak menjadi iltizam untuk beliau terus berjuang meningkatkan     pencapaian pendapatan dan ekonomi dan beliau telah belajar daripada pengalaman bahawa kasih sayang menjadi kunci kebahagiaan selama-lamanya.

Sendayu Tinggi mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional dan kilang ini telah memperoleh lesen Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang terletak di Pulau Indah, Klang, Selangor. Jumlah pengedar kini lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun, China, Taiwan dan Korea.


CARA UNTUK MEMASTIKAN ORANG BERKEMBANG SEBAGAI PEMIMPIN
Yang pertama adalah belajar dari pengalaman. Selain itu, saya akan memberikan arahan untuk pengikut saya dalam mencapai matlamat organisasi. Pasukan inspirasi bermakna lukisan gambar-gambar yang jelas tentang apa kejayaan yang bermakna. Walaupun, ia mengambil masa dan tenaga untuk mempelajari apa yang mendorong setiap orang tetapi yang merupakan pemimpin yang benar lakukan.
     Akhir sekali, apa yang penting untuk menjadi seorang pemimpin yang benar adalah ilmu lebih melalui membaca dan membuat penyelidikan mengenai sesuatu yang saya tidak tahu. Ia akan memberikan saya idea untuk melakukan sesuatu dan saham bahawa idea-idea dengan ahli-ahli pasukan.