Saturday, 2 November 2013

Keikhlasan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary Wajar Dicontohi

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang diumumkan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429H/2008M sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya dengan membantu golongan kurang berkemampuan. 

Sehingga ke hari ini beliau masih lagi meneruskan menginfak separuh dari pendapatannya untuk memajukan Ummah terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan.Corak kehidupan beliau wajar dicontohi dan diikuti untuk memajukan lagi umat islam.

Beliau pernah membantu bapanya berniaga lembu dan kini merupakan antara ahli perniagaan bumiputra terkaya. Syarikat Kumpulan Albukhary yang ditubuhkan oleh beliau terbabit dalam beberapa industri utama negara seperti pengangkutan, logistik, utiliti, automotif, pertahanan, makanan serta perbankan Islam. Penubuhan Yayasan Albukhary juga berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja-kerja amal di Malaysia dan di luar negara.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dilahirkan pada 1951, di sebuah kampung di Alor Setar, Kedah. Ibu bapanya menjadi teladan dengan menggalakkan anak-anak berkongsi titik peluh dengan mereka yang tidak berkemampuan dan bekerja keras untuk membina hidup yang lebih baik untuk keluarga dan masyarakat.

Beliau mengutamakan amalan kebajikan sebagaimana amalan perniagaan. Lebih RM1 billion telah disumbangkan menerusi yayasan kebajikannya, membantu umat Islam bukan sahaja kepada warga Malaysia malah kepada umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia.

Jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Dr. Abdullah bin Md Zin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mendapati beliau layak dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah pada tahun ini yang menepati kriteria-kriteria berikut:
Pertama: Berpengetahuan luas dan mendalam dalam disiplin ilmu yang dimanfaatkan ke arah pembangunan ummah, agama dan negara;
Kedua: Mempunyai sifat dan peribadi yang unggul yang boleh dijadikan teladan;
Ketiga: Telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam dan pembangunan ummah; dan
Keempat: Ketokohannya mendapat pengiktirafan dan diterima oleh masyarakat umum.

Sumber dari http://www.islam.gov.my/en/keikhlasan-tan-sri-syed-mokhtar-albukhary-wajar-dicontohi

No comments:

Post a Comment