MINGGUAN: Bagaimanakah Tan Sri melihat hubung kait diri Tan Sri dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?
SYED MOKHTAR: Saya menikmati jasa dasar itu semasa
memulakan perniagaan dulu, daripada pinjaman Mara sehinggalah kepada
bangunan kedai UDA. Saya produk DEB tetapi semua ini melalui proses
selama 34 tahun.
Pada tahun 1970, arwah bapa saudara bayar seringgit suruh saya masuk
UMNO. Saya menjadi ahli biasa saja, tidak aktif kerana fokus saya ialah
kepada perniagaan. Bagaimanapun saya percaya kepada UMNO kerana ia parti
yang mendukung dasar itu.
Dalam tempoh lebih 34 tahun ini, apakah rahsia kejayaan Tan Sri?
SYED MOKHTAR: Tidak ada apa-apa rahsia. Saya ini
hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan
manusia ini sama saja, cuma proses kematangan saya yang membezakannya.
Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa saja asalkan mereka berusaha
dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa.
Saya sendiri melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk
sampai ke tahap ini. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang
perniagaan ini dari kecil lagi, dan saya juga biasa kena tipu.
Saya memang sudah buat keputusan dari awal bahawa saya mahu buat sendiri. Saya tidak gadai lesen dan permit yang saya ada.
Ini tentang know how atau know who?
SYED MOKHTAR: Semasa mula berniaga dulu saya tidak
ada kenal sesiapa. Tetapi selepas saya mengembangkan perniagaan ini
memang faktor know who itu penting juga. Bangsa lain tidak mengapa
tetapi orang Melayu dalam berniaga kena berdamping dengan orang politik
sedikit-sedikit.
Tetapi saya juga anak UMNO. Saya percaya kepada UMNO dan DEB. Dasar
itu tidak sia-sia. Saya boleh mempertahankan manfaatnya. Ini bukan
masalah dasar tetapi masalah manusia yang tidak mahu melalui kesusahan;
banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik.
Saya juga mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang saya tidak
mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui
jalan susah tetapi itulah jalan yang kekal.
Tidak banyak peniaga Melayu yang buat macam Tan Sri – dapat
empat permit lori walaupun cuma mampu pakai dua, yang baki itu tidak
dijual.
SYED MOKHTAR: Alhamdulillah, Tuhan tidak gerakkan
hati saya buat kerja-kerja itu. Saya yakin, insya-Allah dua buah lori
lagi saya boleh beli kalau saya rajin berusaha.
Saya percaya kalau perniagaan saya maju dan tidak cukup lori, saya
tentu kena minta lagi. Jadi walaupun hanya mampu beli dua buah lori, dua
lagi permit itu saya simpan untuk masa depan.
Maksudnya kena sabar menunggu?
SYED MOKHTAR: Memang kena banyak sabar dan kuat berusaha. Semasa mula-mula berniaga dulu saya pun biasa kena tindas, bukan saja dengan bangsa lain tetapi dengan orang Melayu yang dipergunakan.
Saya terpaksa bersaing dengan orang Cina yang sudah jauh lebih maju
dan boleh juga mendapatkan lesen daripada orang Melayu yang sanggup
menggadainya.
Semasa mula berniaga Tan Sri bekerjasama dengan orang Cina. Kenapa?
SYED MOKHTAR: Kita perlu menggunakan kepakaran mereka kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham, kita berkongsi dengan mereka dengan tujuan untuk belajar daripada mereka. Apabila sudah faham barulah kita boleh menjaga kepentingan kita.
Sampai sekarang saya masih berkongsi dengan orang Cina tetapi saya juga terlibat secara aktif dalam perniagaan itu.
Bagaimanakah lahirnya Yayasan Al-Bukhary ini?
SYED MOKHTAR: Apabila saya dapat rezeki sedikit ditambah pula dengan didikan ibu bapa saya, saya mula menolong orang. Itulah juga punca saya mewujudkan yayasan di Alor Star itu. Insya-Allah, harapan saya setelah mati nanti yayasan itu tetap kekal dan terus memberi bakti.
Selain Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur saya juga buka pusat
tuisyen. Sebenarnya saya hendak buat sudah lama tetapi tiada siapa yang
sanggup hendak tengok-tengokkan sehinggalah saya dapat tahu Datuk Seri
Shukor Abdullah (bekas Ketua Pengarah Pendidikan) bersara. Saya cari dia
dan dia sanggup untuk melaksanakan hasrat ini. Ini daripada hati saya,
siapa pun tidak suruh.
Projek ketiga yayasan ialah Kompleks Al-Bukhary di Alor Star. Itu
asalnya tanah datuk saya dan masjid itu asalnya dia yang bina. Saya
sebenarnya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada
cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
Dalam hal ini, apabila saya masuk ke dalam masyarakat saya tidak
lihat orang itu UMNO atau Pas. Kalau orang itu memerlukan bantuan, kalau
boleh ditolong, saya tolong. Dalam hal-hal kemasyarakatan tidak ada
UMNO dan Pas.
Maksudnya?
SYED MOKHTAR: Orang Melayu semuanya sama. Pendirian
politik itu terpulanglah kepada diri masing-masing. Dalam kompleks
masyarakat itu kita semua sama. Dalam soal kemajuan ummah kita mesti
bersatu.
Prof. Diraja Ungku Aziz dalam satu wawancara sebelum ini menyebut bahawa orang Melayu tidak berfikir seperti satu ummah. Orang Melayu individualistik. Tan Sri nampaknya bukan dari golongan itu?
SYED MOKHTAR: Saya fikir soal parti adalah hak masing-masing. Apabila hidup bermasyarakat, kita tidak sepatutnya mengasingkan ini orang UMNO, ini orang Pas. Saya memberi bantuan hanya atas dasar sebagai orang Islam. Soal ideologi atau perjuangan mana yang betul, hanya Allah yang akan menentukannya.
Dalam menjayakan agenda Melayu, orang Melayu sendiri kena tolong
orang Melayu. Tidak guna kita buat seminar sana sini tetapi tidak mahu
menolong bangsa sendiri untuk jadi maju. Kita kena berusaha, baru orang
Melayu boleh jadi kuat.
Apabila kuat, kita tidak lagi ditindas. Jangan kita bercakap tentang
agenda Melayu dalam Perhimpunan Agung UMNO tetapi selepas itu kita
senyap. Sepatutnya semua orang kena buat kerja, bukannya bercakap saja.
Apa pandangan Tan Sri kepada korporat Melayu yang tidak mahu tolong Melayu?
SYED MOKHTAR: Mereka mungkin tidak nampak ini
sebagai kewajipan kerana mereka tidak melalui kesusahan. Saya pun suka
kepada kemewahan. Saya pun suka pergi tengok dunia, ke Tokyo, New York
dan London. Saya pun suka pakai baju elok.
Tetapi kita ini hendak mewah setakat mana, hendak pakai baju banyak
mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun
sampai larat mana?
Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas,
ada masa di bawah. Kita tidak boleh mengagung-agungkan diri kita sangat.
Masalahnya sekarang ada yang sudah ke atas tetapi tidak mahu turun ke
bawah.
Kenapa ini berlaku?
SYED MOKHTAR: Mungkin kerana kurang didikan dan
nilai sehingga hidup jadi terbawa-bawa. Tidak mengapa kalau mereka boleh
hisap curut RM500. Tetapi tidak semestinya bermakna mereka tidak boleh
turun ke bawah membantu orang.
Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok
mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita
tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa Dia boleh ambil balik.
Mereka bersikap begini boleh jadi kerana bayangan duit itu lebih kuat
daripada yang lain.
Ini berbeza dengan orang Cina yang ada pelbagai persatuan. Kita tidak
ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama
kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tidak mahu berusaha,
apabila orang lain usaha, mereka marah.
Inikah pegangan Tan Sri dari dulu lagi; rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain?
SYED MOKHTAR: Saya fikir memang dari segi hukum pun
begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak
mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu
kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
Tan Sri melihat menolong orang lain itu satu tanggungjawab?
SYED MOKHTAR: Apabila kita memberi kerja kepada
orang lain, ia juga satu amalan kerana kerja mendatangkan rezeki kepada
mereka. Sekarang kumpulan saya ada 36,000 pekerja. Ini satu
tanggungjawab kepada saya, bagaimana hendak menjadikan mereka ini maju,
dapat bonus dan sebagainya.
Kalau Tan Sri tidak buat semua ini apa Tan Sri rasa?
SYED MOKHTAR: Saya akan rasa sedih kerana tidak banyak orang Melayu yang tolong Melayu. Saya tidak kisah; saya boleh tidak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya akan rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata, kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat.
Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita,
kita masih tidak buat apa-apa. Tetapi semua ini sebenarnya bukan mampu
saya buat seorang.
Saya ada emotional attachment kepada agama, negara, bangsa dan ummah.
Saya bukan individualistik. Diri saya tidak mustahak. Pangkat dan
gelaran ini kepada saya tidak mustahak.
Kalau saya dulu tidak dapat peluang belajar tinggi, kenapa pula saya
hendak sekat peluang orang lain? Lagipun saya datang daripada golongan
itu. Kalau ada rezeki lebih sedikit takkan saya sanggup lupakan mereka.
Tan Sri mengharapkan lebih ramai lagi orang Melayu yang berjaya seperti Tan Sri?
SYED MOKHTAR: Saya kadang-kadang sedih apabila media
tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus
kali ganda daripada saya.
Tetapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat,
tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi
daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya
belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya
mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang
Melayu kena atasi.
Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
Apakah yang selalu Tan Sri fikirkan?
SYED MOKHTAR: Saya selalu fikir bagaimana hendak
mengekalkan kumpulan ini untuk masa depan; bagaimana hendak menjalankan
semua projek di bawah yayasan.
Sebahagian daripada keuntungan kumpulan ini saya khaskan kepada kos
operasi Yayasan Al-Bukhary yang akan menempatkan 3,000 pelajar dari
negara-negara Islam – 70 peratus pelajar antarabangsa, 20 peratus
pelajar kita dan 10 peratus bukan Islam.
Kita memberikan fokus kepada soal pendidikan anak bangsa. Kelas
tuisyen itu boleh dikatakan 100 peratus untuk anak Melayu. Universiti
itu pula adalah untuk pelajar-pelajar yang cerdik tetapi tidak ada
kemampuan.
Kita akan ambil mereka dan beri bantuan seratus peratus. Kita mahu
mereka menjadi profesional yang apabila tamat pengajian boleh pulang ke
negara masing-masing dan membantu masyarakat mereka pula.
Salah satu masalah ekonomi orang Melayu ialah pengangguran di
kalangan siswazah. Dalam hal ini misalnya apakah yang boleh Tan Sri
lakukan?
SYED MOKHTAR: Saya telah meminta kumpulan kami
mengkaji masalah ini dan mengambil sekumpulan mereka bekerja dan
memberikan latihan. Insya-Allah kami akan sentiasa mencari perniagaan
baru, mungkin daripada swasta atau kerajaan. Kalau daripada kerajaan
orang mungkin akan menjadikannya sebagai isu lagi.
Tetapi kalau kita terus mencari peluang dan perniagaan lain kita akan
terus dapat membantu orang lain untuk mengembangkan diri masing-masing.
Saya bukan buat semua ini untuk diri saya sendiri semata-mata.
Laporan-laporan tentang Tan Sri selama ini, itu maksudnya bukanlah untuk mengembangkan kekayaan peribadi?
SYED MOKHTAR: Diri saya tidak mustahak. Kalau saya hendak ambil alih mana-mana syarikat pun saya mesti ada kemampuan untuk menguruskannya.
Orang tidak tahu bahawa apabila saya mengambil sesetengah syarikat
itu ia sebenarnya dapat menyelamatkan berpuluh-puluh ribu keluarga
pekerjanya yang sebahagian besarnya ialah orang Melayu.
Tetapi apabila saya mengambil alih syarikat-syarikat itu orang
bertanya apakah tidak ada orang lain selain daripada Syed Mokhtar?
Orang tidak bercakap tentang hal-hal di belakang itu.
SYED MOKHTAR: Perkara yang elok lambat orang tahu.
Saya ini ada dibenci orang. Orang kata saya tamak, ambil semua peluang
yang ada dan hendak jadi kaya seorang. Kaya apa?
Kaya itu bukanlah pada diri saya. Kaya itu adalah kepada kumpulan
perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya
memegangnya untuk sementara saja.
Saya tidak ada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan
isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara baik yang
kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti
tetapi apa yang saya lakukan sekarang.
Tetapi banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20
juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka
hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri.
Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
Apakah yang orang tidak tahu tentang syarikat-syarikat yang Tan Sri miliki itu?
SYED MOKHTAR: Sesetengah daripada syarikat itu
bermasalah; saya membeli untuk menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan
bangsa lain atau orang Melayu sendiri yang boleh membawa lebih
kerosakan. Saya tidak menggadaikan hak dan kepentingan orang kita.
Tetapi kerja saya bukan beli syarikat. Saya ada perniagaan sendiri –
syarikat lori dan beras. Alhamdulillah, Tuhan memberikan saya kekuatan
untuk ke depan apabila ada peluang.
Walaupun sesetengah syarikat itu bermasalah tetapi saya melihatnya
sebagai satu peluang juga – bagaimana hendak mengubahnya. Tetapi saya
tidak pernah ambil daripada mulut orang Melayu lain; sudah hendak sampai
ke kerongkong saya ambil, saya tidak buat begitu.
Apa yang saya dapat ini adalah daripada usaha saya sendiri. Ada juga
yang saya usaha tetapi tidak dapat dan orang tidak tahu. Apa yang saya
dapat itu pula yang menjadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua.
Orang kita terlupa bahawa bangsa lain memegang pelbagai kepentingan
dalam ekonomi negara ini. Siapa pula yang memberikan pelbagai kemudahan
untuk membolehkan mereka memegang kepentingan itu? Siapa pun tidak kata
apa. Inilah masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah
kerana politik Pas dan UMNO; di bandar, berpecah kerana ini.
Saya tidak pergi cari mana syarikat hendak saya beli. Saya percaya
kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk
orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini
gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
Orang tidak tahu bagaimana saya rugi lebih RM2 bilion dalam pelaburan
semasa kegawatan 1997 semata-mata kerana hendak melindungi 30 peratus
kepentingan orang Melayu.
Setiap kali mendapat rezeki daripada Tuhan, apakah yang Tan Sri rasakan?
SYED MOKHTAR: Saya ini kata orang Kedah, lebai
kodok, bukan lebai pondok. Tetapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu
kita minta terus daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran.
Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
Orang kata saya tidak ada duit tetapi banyak hutang. Orang berniaga
mana yang tidak berhutang. Tetapi kita mesti tahu bagaimana hendak
meminjam dan membayarnya semula. Ada cara kita boleh buat.
Kalau beratus-ratus orang Cina dalam bandar boleh buat kenapa saya
orang Melayu tidak boleh? Tetapi kerana saya Melayu orang menjadikannya
sebagai satu isu. Inilah masalahnya.
Tidak ada salahnya berhutang kalau berniaga. Tetapi sebelum berhutang
RM100 juta kita mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik.
Mesti ada tanggungjawab. Soal tanggungjawab ini yang banyak orang tidak
sanggup pikul. Banyak orang mahu senang tetapi tidak ramai yang mahu
bertanggungjawab.
Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab. Kalau
hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya tidak ada apa.
Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh
berkongsi sama. Emak saya mengajar: Kalau dapat lebih, beri lebih; kalau
kurang, beri kurang.
Tan Sri ada sikap yang begitu sensitif kepada keperluan anak
bangsa dan saudara seagama. Soalnya kenapakah tidak banyak korporat
Melayu yang ada sikap sebegini?
SYED MOKHTAR: Mungkin kerana masalah didikan atau
kerana mereka naik dengan begitu mudah. Atau mungkin juga kerana
pergaulan mereka. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang
alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun
sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak
boleh lupa kubur kita dan asal-usul kita. Di kampung kita mungkin ada
jiran-jiran yang perlukan bantuan.
Saya sangat berterima kasih kepada emak saya yang ambil setengah
daripada duit pertama saya dulu. Kalau tidak mungkin saya sudah ke
Haatyai dan jadi nakal.
Saya manusia yang banyak juga melakukan kesilapan. Tetapi saya insaf,
beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu
mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu. Saya kata kepada diri sendiri
kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
Adakah Tan Sri rasa keseorangan melakukan semua ini?
SYED MOKHTAR: Saya fikir banyak orang yang buat
begini juga tetapi dengan cara mereka sendiri. Insya-Allah kita berdoa
mereka akan buat lebih lagi pada masa akan datang.
Saya buat apa yang tergerak dalam hati dan apa yang boleh dicapai
oleh tangan. Saya juga insaf bahawa diri saya tidak kekal; saya hanya
seorang hamba Allah yang kalau ditakdirkan hidup sehingga 70 tahun umur
saya hanya tinggal 17 tahun saja lagi.
Oleh itu saya suka melakukan perkara yang kekal dan berterusan
seperti yayasan ini. Kalau bangsa lain boleh ada macam-macam yayasan
kenapa tidak kita? Apa yang penting ialah komitmen. Pendekatan saya
selari; sambil mencari rezeki saya juga menyumbang semula kepada
masyarakat.
Saya sendiri tumpang seronok melihat orang lain mendapat kesenangan daripada sedikit apa yang saya ada ini.
Tan Sri seronok melihat orang lain dapat berkembang hasil daripada rezeki yang Tan Sri nikmati?
SYED MOKHTAR: Ya. Kekayaan ini Tuhan beri kepada
saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan
rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita
pula dengan cara yang lain.
Harapan Tan Sri kepada orang Melayu lain yang juga sudah berjaya?
SYED MOKHTAR: Insya-Allah, kebanyakan orang Islam ini baik-baik, ada niat yang baik. Bukan mereka tidak mahu menolong tetapi mungkin masanya belum sampai atau Tuhan belum menggerakkan hati mereka lagi. Mungkin juga mereka ada masalah maklum saja selepas tahun 1997 masih belum banyak yang pulih semula.
Saya sendiri sambil berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal
jariah. Saya berdoa apabila nanti saya pejam mata masa itu juga hutang
pun habis, perniagaan dan amal jariah pun sama-sama berjalan elok.
Saya tidak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya
takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat buat.
Kepada orang Melayu yang sanggup hisap curut RM500 tetapi
susah hendak tolong orang lain, apakah yang hendak Tan Sri katakan
kepada mereka?
SYED MOKHTAR: Kalau mereka hendak hisap curut, pakai
kereta Porsche atau duduk rumah besar, tak apa. Cuma ingat-ingatlah
juga tanggungjawab untuk membantu anak bangsa.
Kita tidak boleh marah kepada mereka. Kita ingat-ingatkan saja.
Kebanyakan mereka itu orang yang bagus-bagus; mungkin terbawa-bawa saja.
Kepada saya ini masalah kecil saja. Masalah yang lebih besar ialah diri
kita sendiri. Orang Melayu kena yakin dan berusaha untuk terus
memajukan diri.
Harapan Tan Sri kepada orang Melayu keseluruhannya?
SYED MOKHTAR: Peluang kita semua sama; saya tidak
dapat lebih dan tidak dapat kurang. Cuma satu saja saya minta daripada
orang Melayu: Beri masa sedikit kepada apa yang hendak diusahakan.
Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit
masa untuk faham selok-belok perniagaan, insya-Allah boleh maju.
Mereka juga kena fokus, majukan diri dan selalu meningkatkan
kemahiran. Kalau sudah maju dan hendak mempelbagaikan perniagaan, masa
itu tidak mengapa.
Kita juga jangan cepat berputus asa. Putus asa boleh tetapi kena
cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Kita juga
jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila
kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
Bolehkah orang Melayu maju?
SYED MOKHTAR: Tidak ada sebab kenapa orang Melayu
tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun kalau ada
yang mengatakan orang Melayu tidak boleh maju. Cuma nasihat saya kalau
hendak jadi apa pun, jadilah yang terbaik dalam bidang masing-masing
sehingga kukuh bertapak.
Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena
tanam semangat suatu hari mahu ambil alih akhbar itu. Tidak ada sebab
kenapa ia tidak boleh berlaku.
Cara hidup Tan Sri bagaimana?
SYED MOKHTAR: Saya tidak ada lifestyle yang kena
masuk kelab sana dan sini. Tetapi tidak semestinya saya tidak boleh
turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup
yang fleksibel, boleh naik dan turun. Jangan amalkan cara hidup yang
tidak boleh ada fleksibiliti.
Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes
tetapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional.
Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
Saya juga tidak bermain golf kerana kepada saya ia memakan banyak
masa. Tetapi tidak semestinya orang yang main golf itu tidak bagus atau
orang yang tidak main itu lebih bagus.
Saya pun tidak ada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang.
Saya fikir kalau saya beli sesuatu benda yang mahal, biarlah orang ramai
boleh pakai. Saya suka kalau orang ramai mendapat nikmatnya.
Tetapi pada masa akan datang tidak tahu lagi. Kalau panjang umur saya
berniaga ke negara-negara lain dan ketika itu saya memerlukan, mungkin
saya akan beli juga kapal terbang. Setakat ini Proton Perdana sudah
memadai.
Tetapi orang Melayu umumnya apabila berniaga perkara pertama yang dilakukan ialah beli kereta mewah.
SYED MOKHTAR: Kita tidak usahlah selalu
mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi yang
negatif kepada orang Melayu. Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta
besar dan rumah besar. Jangan kita memberikan gambaran bahawa ini
sebenarnya yang perlu mereka buat. Sesiapa pun memang mahu semua itu
tetapi bukan itu matlamatnya.
Kita kena tekankan hal-hal yang positif tentang orang Melayu. Orang
Melayu boleh jadi yang terbaik dalam apa juga bidang kerjaya mereka. Itu
yang perlu kita lakukan.
Di kalangan orang Melayu masih ada pemikiran bahawa kerajaan perlu menolong mereka. Bagaimanakah Tan Sri melihat realitinya?
SYED MOKHTAR: Saya ingat kena tengok tahap-tahapnya.
Kerajaan kena tolong orang Melayu. Orang Melayu mesti naik
berperingkat-peringkat. Bantuan kerajaan sentiasa ada. Sistemnya sudah
ada. Kalau orang Melayu masuk ke dalam sistem itu, mereka sudah boleh
jalan ke depan.
Tetapi seperti saya katakan tadi mereka perlu melalui proses ujian
masa. Mereka yang perlukan bantuan ini ialah mereka yang hendak cepat
dan tidak faham apa. Orang Melayu sebenarnya tidak perlu meminta
kerajaan membantu kerana dasar itu memang sudah ada. Orang Melayu
sebenarnya yang kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan
fokus.
Saya mendapat nikmat daripada DEB sejak awal pelaksanaannya lagi.
Ketika itu lebih susah kalau hendak dibandingkan dengan peluang-peluang
yang ada sekarang.
Adakah Tan Sri puas hati dengan apa yang sudah dilakukan ini?
SYED MOKHTAR: Saya biasa saja. Hidup saya tidak
berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan
oleh Allah. Tidak ada air segelas, ada setengah gelas pun saya
bersyukur.
Apakah yang Tan Sri rasa apabila melihat orang yang menerima bantuan daripada yayasan ini?
SYED MOKHTAR: Kalau kerana sedikit bantuan itu
mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah
gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat
sedikit daripada tidak buat langsung.
Saya gembira dapat membantu. Kalau saya boleh beli seekor lembu untuk
sebuah kampung yang sudah lama tidak makan daging, saya rasa gembira.
Saya rasa seronok dapat bawa anak-anak dari luar datang ke Kuala Lumpur,
tengok lampu-lampu yang cantik.
Saya tahu bagaimana perasaannya. Saya mahu orang lain merasai apa
yang saya pernah rasa. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat
saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan kita beri kurang
daripada itu, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
Tan Sri tentu rasa boleh menyumbang lebih lagi daripada ini?
SYED MOKHTAR: Memang itulah yang selalu saya rasa.
Saya kata kepada kawan-kawan apa yang kita buat ini baru warm-up saja;
kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.
Insya-Allah, kalau orang Melayu lain boleh bersama-sama membantu
tentulah lebih baik. Ayah saya kata, guni beras kalau seorang pikul
memang berat tetapi kalau ramai-ramai kita pakat pikul ringan jadinya.
Kenapa beri wawancara sekarang?
SYED MOKHTAR: Saya rasa saya perlu tampil untuk membetulkan pandangan-pandangan yang serong tentang diri saya itu. Saya kena membela diri. Setidak-tidaknya saya jelas dengan apa yang hendak saya lakukan. Terpulang bagaimana umum hendak menerimanya.
SYED MOKHTAR: Saya rasa saya perlu tampil untuk membetulkan pandangan-pandangan yang serong tentang diri saya itu. Saya kena membela diri. Setidak-tidaknya saya jelas dengan apa yang hendak saya lakukan. Terpulang bagaimana umum hendak menerimanya.
Kepada saya, apa yang benar itu akan kekal. Saya segan kerana kerja
saya yang sedikit ini orang besar-besarkan. Niat saya baik tetapi orang
fikir sebaliknya. Saya bukan orang jahat. Saya asal orang miskin.
Saya pun sebenarnya bukan hendak menonjol-nonjolkan diri. Saya hormat
kepada pemimpin. Saya akan sama-sama membantu. Pemimpin datang dan
pergi tetapi saya hormat kedudukan itu. Perjuangan yang mereka tentukan
itu akan terus saya bantu.
Sumber dari http://dahalmi.wordpress.com/2010/09/24/petikan-wawancara-dengan-tan-sri-syed-mokhtar-albukhary/